Putera William & Kate Middleton tiba di Sabah
Pasangan diraja Britain, Duke dan Duchess of Cambridge tiba di sini untuk lawatan dua hari ke Sabah.
Pesawat khas yang membawa Putera William dan isterinya Catherine tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada kira-kira 7.50 malam.
Ketibaan pasangan diraja itu disambut oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Yahya Hussin dan isteri Datin Jouyah Mohd Yunin serta pegawai kerajaan dan orang kenamaan asing.
Sebaik tiba untuk majlis itu, Putera William dan Catherine disambut dengan dipakaikan kalung manik yang dikenali sebagai Pinakol, yang sinonim dengan kebudayaan etnik Rungus, sebagai tanda 'selamat datang'.
Putera William dan Catherine akan menaiki helikopter untuk melawat Lembah Danum, kawasan hutan hujan tropika utama, terletak kira-kira 70km dari Lahad Datu, dengan pasangan diraja itu akan meninjau kawasan seluas 438km persegi itu dan mendengar taklimat oleh para penyelidik.
Malaysia merupakan destinasi kedua selepas Singapura, dalam program lawatan sembilan hari di Timur Jauh, sebagai wakil kepada Ratu Elizabeth II sempena sambutan ulang tahun ke-60 pemerintahan baginda Ratu.
Duke and Duchess of Cambridge, Putera William dan Catherine berjalan merentasi jambatan di Pusat Penyelidikan Hutan Hujan Borneo di Lembah Danum kira-kira 70 kilometer (44 kilometer) di barat Lahad Datu, di Sabah pada Sabtu.
Putera William & Kate di Danum Valley, Lahad Datu Sabah
Pasangan diraja Britain Putera William dan Kate Middleton mengakhiri lawatan mereka ke negara ini dengan menikmati keindahan kawasan hutan hujan tropika yang terpelihara baik di Malaysia.
Duke dan Duchess of Cambridge meluangkan masa kira-kira tiga jam melawat Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum, bercakap dengan 25 penyelidik dan penuntut Universiti Oxford serta duduk di atas dahan pokok setinggi kira-kira 50 meter, selain diberi taklimat berkaitan semut dan hidupan lain di atas pokok dalam kawasan pemuliharaan seluas 43,800 hektar itu.
Pasangan itu diterbangkan ke kawasan berkenaan oleh helikopter lapan tempat duduk syarikat penerbangan Sabah Air pada 10.15 pagi.
Mereka kemudian mendengar taklimat Ketua Bahagian Konservasi dan Pengurusan Alam Sekitar Yayasan Sabah Dr Waidi Sinun, Pengarah Program Penyelidikan Hutan Hujan Asia Tenggara (SEARRP) Royal Society Dr Glen Reynolds, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Tengku D Z Adlin serta Pengarah Jabatan Perhutan Sabah Datuk Sam Mannan berkaitan kerja pemuliharaan bersama Yayasan Sabah dan SEARRP.
William menjadi Felo Diraja sempena sambutan ulang tahun ke-350 Royal Society pada 2010.
Pasangan itu menunjukkan minat mendalam dalam kemajuan kerja pemuliharaan dan haiwan liar di kawasan tersebut seperti Orang Utan serta monyet Proboscis.
Selepas mendengar taklimat selama setengah jam, Putera William dan Kate meredah hutan hujan tropika itu bagi merasai sendiri biodiversiti luar biasa yang terdapat di kawasan tersebut.
Waidi menyifatkan kunjungan pasangan diraja itu sebagai 'berjaya dan bermanfaat'.
"Duke of Cambridge ada berkata ayahanda baginda (Putera Charles) sememangnya menyukai hutan hujan tropika. Bagi saya, kunjungan ini berjaya dan bermanfaat kerana ia bakal meletakkan Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum ke satu tahap yang lebih tinggi.
"Ia benar-benar merupakan satu pengiktirafan terhadap usaha bersama Yayasan Sabah dan the Royal Society, terutama bagi kerja pemuliharaan yang kami lakukan.
"Kami percaya apa yang telah dan sedang dilakukan di sini adalah penting dan signifikan di peringkat global... dan saya percaya inilah yang menarik minat pasangan diraja itu untuk berkunjung ke sini," katanya.
Selepas meluangkan masa di Lembah Danum, pasangan itu turut berpeluang merasai pengalaman berjalan di jambatan atas pokok sepanjang 300 meter, sebelum berehat untuk makan tengah hari di Borneo Rainforest Lodge.
Duke dan Duchess of Cambridge kemudian berlepas dengan pesawat komersial ke Kota Kinabalu.
Malaysia merupakan destinasi kedua pasangan itu selepas Singapura dalam siri lawatan sembilan hari mereka ke timur jauh sebagai wakil Ratu Elizabeth II sempena sambutan ulang tahun ke-60 pemerintahan baginda di England.
Pasangan itu dijadual melawat Kepulauan Solomon dan Tuvalu selepas ini.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan